PENGLIBATAN
PIHAK BERKUASA TEMPATAN ( PBT ) PASIR GUDANG
DALAM
SUKAN DAN REKREASI
YATIMAN BIN KAMSIDIN
PUSAT SUKAN
UNIVERSITI MALAYA
2005
PENGLIBATAN
PIHAK BERKUASA TEMPATAN ( PBT ) PASIR GUDANG
DALAM
SUKAN DAN REKREASI
OLEH :
YATIMAN BIN KAMSIDIN
VES 020140
SATU KAJIAN ILMIAH YANG DIKEMUKAKAN KEPADA UNIVERSITI MALAYA
SEBAGAI MEMENUHI KEHENDAK KURSUS VMES3900 PROJEK SELIAAN KHAS ( PENGURUSAN SUKAN ) IJAZAH SARJANA MUDA SAINS SUKAN
PUSAT SUKAN
UNIVERSITI MALAYA
2005
Penyerahan Latihan Ilmiah
VMES3900 Projek Seliaan Khas ( Pengurusan Sukan )
Tajuk : Penglibatan Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang
Dalam Sukan Dan Rekreasi.
Saya, YATIMAN BIN KAMSIDIN No. Matrik : VES020140 telah menyerahkan Latihan Ilmiah tersebut pada ________________
Di Pusat Sukan, Universiti Malaya.
Yang Benar
Nama Pelajar : YATIMAN BIN KAMSIDIN
Tandatangan : ________________________
Serahan diterima oleh :
Nama Penyelia : ________________________
Tandatangan : ________________________
Saksi :
Nama : ________________________
Tandatangan : _____________________
PENGHARGAAN
Saya merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pensyarah Penasihat dan Penyelia saya Dr. Mohd Salleh b Aman yang sentiasa memberikan bimbingan, tunjuk ajar, dorongan serta teguran membina dari awal kajian ilmiah ini dirancangkan sehinggalah terhasilnya penulisan ini. Kepada beliau saya amat terhutang budi.
Saya turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Bahagian Akademik Pusat Sukan, Universiti Malaya terutamanya kepada Pengarah Pusat Sukan,Universiti Malaya Dr. Teoh Heng Teong begitu juga Timbalan Pengarah Bahagian Akademik Pusat Sukan, Universiti Malaya Dr. Nadhratul Wardah Hj Salman yang telah memberi peluang dan kebenaran kepada saya untuk menjalankan kajian ilmiah ini.
Seterusnya saya mengucapkan terima kasih sekalung budi kepada Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Cik Nurulaini Bt Bakri Penyelaras Sukan PBT & Sukan Kelab-kelab/NFC Johor, Majlis Sukan Negeri Johor, Syed Hamid Bin Syed Osman Pengurus Johor Circuit, Pn Rahmah Bt Mahmood Pegawai Tadbir Jabatan Kemasyarakatan PBT Pasir Gudang, En Razak B Abu Bakar Penyelaras Sukan PBT Pasir Gudang, Tn Hj Ismail b Md Taib Penyelaras Festival Layang-layang Antarabangsa, En Mohd Noh Bin Ayob pengiat Kelab Rakan Muda Taekwando R & R Worldwide, En Faizal Mohd Noh: Jurulatih 2nd Dan, Kelab Rakan Muda Taekwando R & R Worldwide dan En Asri Bin Karim Ketua Zon JKiD Permas Jaya yang telah banyak membantu memberikan pelbagai maklumat yang saya perlukan disepanjang proses saya menyiapkan kajian ilmiah ini.
Penghargaan khas ini saya rakamkan kepada isteri tercinta, Nor Afiza bt Hj Ayob yang sentiasa sabar dalam memberi dorongan serta galakan untuk menguatkan azam saya serta anak-anak perempuan dan lelaki kesayangan saya Amira, Aqila dan Akmal Rizal yang sentiasa menjadi sumber ilham saya di sepanjang proses kajian ilmiah ini dijalankan.
Akhir sekali, kepada seluruh ahli keluarga saya, rakan-rakan seperjuangan, sahabat handai seterusnya orang perseorangan yang telah membantu saya dalam menyempurnakan kajian ilmiah ini, saya ucapkan ribuan terima kasih. Hanya Allah yang dapat membalas segala jasa dan budi baik yang telah diberikan kepada saya ini. kepadaNya saya berserah dan kepadaNyalah sahaja saya memohon restu dan pertolongan.
Yang Ikhlas
Yatiman Bin Kamsidin
ABSTRAK
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merupakan organisasi kerajaan yang paling hampir dengan masyarakat. Hubungan sektor PBT dengan sukan & rekreasi adalah saling bergantungan. PBT membangunkan sukan melalui dasar dan pentadbiran yang diwujudkan manakala perkembangan industri sukan dan rekreasi memantapkan sosioekonomi masyarakatnya. Adakah isu ini sama sifatnya di setiap kawasan PBT? Kajian ini memberi fokus kepada penglibatan Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang (PBT Pasir Gudang) dalam sukan dan rekreasi.
Kajian ini dijalankan secara kualitatif dengan menggabungkan beberapa kaedah termasuk kajian perpustakaan, analisa dokumentasi, temubual personal dan kerja-kerja pemerhatian secara berterusan bagi membantu pengkaji menggarap dan memahami perkembangan sukan dan rekreasi sebenar di sini.
PBT Pasir Gudang memainkan peranan penting membangunkan sukan dan rekreasi, bukan sahaja membina kemudahan malah terlibat secara langsung dalam program sukan dan rekreasi di peringkat domestik, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Kebanyakan perkhidmatan dan program sukan dan rekreasinya dijalankan secara korporat dan usahasama dengan anak-anak syarikat Johor Corporation, pihak NGO, pihak swasta, agensi kerajaan dan kerajaan negeri. Pengurusan korporat menjamin pelestarian sukan dan rekreasi terutamanya sukan pelancongan.
Jelas sekali, PBT Pasir Gudang telah mengambil tanggungjawab sepenuhnya memajukan sukan dan rekreasi. Sukan dan rekreasi diberi perhatian istimewa kerana ia memberi impak positif kepada daerah, negeri dan seluruh rakyat Johor.
KANDUNGAN
PENGHARGAAN i
ABSTRAK iii
KANDUNGAN iv
SENARAI JADUAL vi
SENARAI RAJAH vii
BAB
1. PENGENALAN
1.1 Pendahuluan 1
1.2 Latar Belakang Kajian 2
1.3 Pernyataan Masalah 3
1.4 Objektif dan Soalan Kajian 5
1.5 Signifikan Kajian 6
1.6 Definisi-definisi istilah 7
1.6.1 Sukan 7
1.6.2 Rekreasi 7
1.6.3 Pihak Berkuasa Tempatan 8
1.7 Carta Aliran Kajian 9
2. PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT) PASIR GUDANG
2.1 Pendahuluan 10
2.1.1 Pihak Berkuasa Tempatan Di Malaysia 10
2.1.2 Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor 11
2.1.3 PBT Pasir Gudang 12
2.1.3.1 Sejaran Pasir gudang 12
2.1.3.2 Pentadbiran PBT Pasir Gudang 13
2.1.3.3 Pengurusan Sukan dan Rekreasi
Secara korporat 14
2.2 Peranan PBT Di Malaysia Dalam Sukan Dan rekreasi 15
2.3 Penglibatan PBT Pasir Gudang Dalam Sukan dan
Rekreasi 16
2.3.1 Peruntukan Program Sukan Dan Rekreasi 17
2.3.2 Penyediaan Kemudahan Sukan Dan rekreasi 17
2.4 Peranan PBT Dalam Sukan Dan rekreasi Satu
Penilaian 18
3. PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT) PASIR GUDANG
3.1 Pendahuluan 20
3.1.1 Perbincangan Bersama Penyelia 20
3.1.2 Proses Pengumpulan Bahan Dan maklumat 21
3.1.3 Proses Penyusunan Dan Analisa Bahan 22
3.1.4 Komputer Dan Proses Penulisan 22
4. SUKAN DAN REKREASI DI KAWASAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT) PASIR GUDANG
4.1 Pendahuluan 24
4.2 Dasar Dan Polisi Korporat Sukan Dan Rekreasi PBT
Pasir Gudang 24
4.3 Sukan Dan Rekreasi Komuniti Di PBT Pasir Gudang 25
4.4 Penstrukturan Program Sukan Dan rekreasi Di PBT
Pasir Gudang 26
4.5 Kemudahan-kemudahan Sukan Dan rekreasi Di PBT
Pasir Gudang 30
5. KESIMPULAN DAN CADANGAN
5.1 Pengurusan Korporat Dan Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT) Pasir Gudang 31
5.2 Kekuatan Utama Pihak Berkuasa Tempatan
Pasir Gudang 32
5.3 Kelemahan Utama Pihak Berkuasa Tempatan
Pasir Gudang 33
5.4 Dapatan Kajian Dan Kaitannya Dengan Soalan 34
• Rumusan Dan Cadangan 36
• Cadangan Kajian Lanjut 39
• Kesimpulan 40
Rujukan 41
Senarai Lampiran
SENARAI JADUAL
Muka Surat
Jadual 2.1 :Bilangan Pihak Berkuasa Tempatan di Malaysia 11
Jadual 2.2: Corak penyediaan kemudahan sukan dan rekreasi
di Majlis Daerah, Majlis Perbandaran, Majlis dan Dewan
Bandaraya 15
Jadual 2.3: Penganjuran program sukan dan rekreasi mengikut peringkat
Penganjuran 16
Jadual 2.4: Perbelanjaan program sukan PBT Pasir Gudang 2002 &2003 17
Jadual 2.5: Program-program wajib saranan Kerajaan Negeri Johor 17
Jadual 2.6: Lokasi dan senarai aktiviti sukan dan rekreasi utama 18
Jadual 3.1: Jadual matrik perancangan pengumpulan bahan 21
Jadual 3.2: Jadual semakan bahan terkumpul 22
Jadual 4.1: Program sukan dan rekreasi sukan komuniti terpilih 26
Jadual 4.2: Program-program sukan dan rekreasi anjuran
PBT Pasir Gudang. 27
Jadual 4.3: Program-program sukan dan rekreasi anjuran bersama
Kerajaan Persekutu, Kerajaan Negeri, Melalui
Majlis Sukan Negara, Kementerian Belia & Sukan,
Majlis Sukan Negeri dan Jabatan Belia dan Sukan
Negeri Johor. 28
Jadual 4.4: Program-program sukan dan rekreasi usahasama
dengan NGO & pihak swasta 29
Jadual 4.5: Kemudahan sukan dan rekreasi di kawasan
PBT Pasir Gudang. 30
SENARAI RAJAH
Rajah 1.1: Carta aliran kajian 9
Rajah 2.1: Pihak Berkuasa Tempatan Johor 11
Rajah 2.2: Peta Wilayah PBT Pasir Gudang 12
Rajah 2.3: Pasir Gudang asal sebagai sebuah perkampungan nelayan 12
Rajah 2.4: Struktur Organisasi PBT Pasir Gudang 13
Rajah 2.5: Peranan jabatan-jabatan yang ditubuhkan dalam pengurusan
sukan & rekreasi PBT Pasir Gudang. 16
Rajah 3.1: Carta aliran proses menaip kajian ilmiah 23
Rajah 4.1: Polisi Korporat PBT Pasir Gudang 25
PENGENALAN
1.1 PENDAHULUAN
Malaysia kaya dengan sumber alam semulajadinya seperti hutan, sungai, pantai dan gugusan kepulauan yang indah dan menarik. Keluasannya adalah 330,200km³. Wajarlah kerajaan bertindak menjadikan Malaysia sebagai satu destinasi pelancongan sukan dan rekreasi yang terunggul bagi masyarakat domestik dan antarabangsa.
Di sinilah kerjasama dan komitmen daripada seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diperlukan untuk menyediakan kemudahan dan program sukan dan rekreasi yang sesuai. Secara langsung memenuhi saranan Dasar Sukan Negara untuk melaksanakan slogan “Malaysia Cergas” meliputi aktiviti “Sukan Prestasi Tinggi” dan “Sukan Massa”. Persoalannya, sudahkah semua PBT melaksanakannya?
Satu kajian meneroka dan mendapatkan maklumat penglibatan PBT dalam sukan dan rekreasi wajar diketengahkan. Secara tidak langsung dapat memberi gambaran tentang evolusi sukan dan rekreasi disesebuah kawasan PBT. Untuk memenuhi objektif pendokumentasian ini, Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang (PBT Pasir Gudang) telah dipilih menjadi tapak kajian saya.
PBT Pasir Gudang merupakan sebuah entiti kerajaan yang berdikari. Melalui pemilikan kuasa autonomi, membolehkannya bebas menguruskan segala prasarana serta program sukan dan rekreasinya mengikut keupayaan dan kepakarannya. Amalan pengurusan korporat, penswastaan dan usahasama melibatkan anak-anak syarikat Johor Corporation, kerajaan negeri, pihak NGO dan pihak swasta merancakkan lagi penyediaan kemudahan dan penganjuran program sukan dan rekreasinya.
Keunikan berkenaan menyebabkan skop kajiannya diperluaskan bukan sahaja berfokuskan kepada mendokumentasikan dasar, peranan dan impak aktiviti sukan dan rekreasi di PBTPG tetapi melibatkan juga peranannya membantu negeri Johor dan Malaysia dalam pembangunan sukan dan rekreasi secara langsung atau tidak langsung. Semoga dengan penghasilan kajian ini, kita akan dapat mengetahui kepentingan peranan sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan dalam pembangunan sukan dan rekreasi untuk komuniti dan masyarakatnya.
1.2 LATAR BELAKANG KAJIAN
Kajian ini dilakukan sebagai satu usaha untuk melengkapkan kursus pengijazahan Sarjana Muda Sains Sukan saya. Kajian dibuat melalui inisiatif sendiri dengan mendapat kerjasama dari pihak Universiti Malaya, Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang dan organisasi-organisasi sukan setempat yang berkaitan. Segala dapatan dan hasil data akan dianalisa dan dinyatakan dalam bentuk jadual, rajah dan statistik mudah (menggunakan kaedah peratusan (%). Seterusnya segala rumusan, cadangan dan harapan kajian akan dinyatakan di bahagian akhir laporan ini.
1.3 PERNYATAAN MASALAH KAJIAN.
Sumbangan dan peranan Pihak Berkuasa Tempatan sebagai organisasi kerajaan yang terakhir dan hampir dengan masyarakat untuk menyebarluaskan dasar Sukan Negara sangat bermakna. Peranannya wajar dikenal pasti serta dimajukan. Liputan isu-isu hangat terkini yang menyentuh peranan PBT seperti pengamalan pengurusan corak lama, masalah penyediaan dan penyelenggaraan kemudahan serta penyertaan yang dingin ke atas penganjuran program sukan dan rekreasi telah menjadi pendorong kepada kajian ini.
Penyediaan prasarana dan program sukan dan rekreasi yang terbaik merupakan satu tugas sosial Pihak Berkuasa Tempatan yang berat untuk dilaksanakan. Satu dasar dan amalan pengurusan sukan dan rekreasi yang jelas perlu segera dibentuk. Amalan pengurusan lama yang sudah tidak relevan dengan perubahan urbanisasi wajar disemak dan dinilai semula. Saranan ini telah disuarakan oleh Dato Seri Ong Ka Ting, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan telah menegaskan agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu lebih proaktif, menukar tahap pemikiran lama dan tidak lagi berfungsi seperti tahun 80-an atau 90-an1.
Malaysia tidak memerlukan masa yang panjang untuk menjadi penganjur bertaraf dunia kerana segala kemudahannya sudah tersedia. Namun, kebanyakan prasarana masih tidak digunakan sepenuhnya dan terbiar telah mendapat perhatian segera dari Dato Seri Dr Mohamad Khir Toyo, Menteri Besar Selangor. Sebagai langkah untuk mengatasi isu ini, beliau segera mengarahkan kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negerinya membuka kemudahan sukan milik PBT kepada pihak awam disamping penyediaan program sukan dan rekreasi terhadap masyarakatnya bagi memastikan tiada kemudahan terbiar.
Kedua-dua isu di atas menunjukkan, ketiadaan pendokumentasian polisi dan maklumat kemudahan dan program sukan dan rekreasi yang jelas dari pihak PBT secara tersusun dan bersungguh-sungguh menjadi penghalang penyebarannya kepada masyarakat.
Manakala program-program sukan dan rekreasinya yang banyak dilaksanakan tetapi kurang mendapat sambutan turut sama menjadi topik perbincangan. Semasa berucap di dalam Majlis Perasmian Majlis Kecergasan Malaysia Kebangsaan tahun 2004, Dato Seri Ong Ka Ting, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menjelaskan bahawa terdapat PBT-PBT yang mengambil inisiatif sendiri telahpun menganjurkan secara berjadual pelbagai program sukan di peringkat tempatan. Ada diantaranya melibatkan peserta dari luar negara. Walau bagaimanapun ianya perlu diperluaskan lagi dengan penglibatan masyarakat keseluruhannya serta diuruskan dengan berkesan secara bersepadu.
Kenyataan ini menggambarkan bahawa di dalam proses perlaksanaan terdapat masalah komunikasi yang kurang jelas telah mengganggu kelancaran pengelolaan program-program yang disediakan PBT.
Kemudahan sukan dan rekreasi wajar diselenggarakan dengan baik sebagai satu usaha membantu proses pembangunannya. Walau bagaimanapun kegagalan pihak berkaitan untuk menyelenggara kemudahan sukan dan rekreasi menyebabkan kemudahan sukan yang terbiar di mukim-mukim seperti gelanggang sepak takraw, tenis, dan bola keranjang tidak dapat berfungsi dan digunakan lagi. Dato Ghani Osman menyuarakan kekesalannya isu ini di Majlis Perasmian Sirkit Pertama, Grand Prix Sepak Takraw 2005 di Pasir Gudang.
Berdasarkan beberapa isu semasa yang dibincangkan di atas, kajian ini seboleh mungkin akan cuba menumpukan dan mengenal pasti peranan PBT dahulu dan sekarang dalam memperkembangkan sukan dan ekonomi negara? Selari dengan perkembangan sukan negara yang memberi penekanan sehingga ke peringkat akar umbi, isu dan perbincangan turut memberi penekanan terhadap pembangunan sukan dan rekreasi di peringkat daerah dari segi polisi, komuniti, kemudahan dan program sebagai tumpuan utama kajian.
Begitu juga dengan perkembangan ekonomi Malaysia yang mulai bergantung kepada sektor pelancongan, sudahkah pihak PBT memainkan peranan menganjurkan sukan ke arah memenuhi matlamat di atas? Segala persoalan di atas akan diperincikan di dalam bab-bab selanjutnya.
1.4. OBJEKTIF DAN SOALAN KAJIAN
Objekif utama kajian ini ialah untuk mendokumentasikan dasar, peranan dan impak aktiviti sukan dan rekreasi di PBT Pasir Gudang. Sub-sub objektif kajian ini adalah seperti berikut:
1. Mendokumentasikan segala maklumat sukan dan rekreasi di PBT Pasir
Gudang.
2. Mengenalpasti dasar, polisi dan struktur pentadbiran sukan di PBT Pasir
Gudang.
3. Mengenalpasti peranan dan penglibatan PBT Pasir Gudang dalam sukan
dan rekreasi.
4. Menilai impak sukan dan rekreasi terhadap masyarakat di kawasan PBT
Pasir Gudang.
Sebagai panduan menjalankan kajian, pengkaji mengemukakan 4 soalan kajian:
1. Apakah bentuk dokumentasi aktiviti sukan dan rekreasi di PBT Pasir
Gudang ?
2. Apakah Dasar sukan sedia ada dan bagaimanakah pentadbiran sukan dan
rekreasi di PBT Pasir Gudang distrukturkan ?
3. Apakah peranan PBT Pasir Gudang dalam sektor sukan dan rekreasi ?
4. Apakah impak aktiviti sukan dan rekreasi kepada masyarakat PBT Pasir
Gudang ?
1.5 SIGNIFIKAN KAJIAN
Kajian ini merupakan satu usaha penting yang dapat melengkapkan data tentang sukan dan rekreasi di negeri Johor khususnya tentang penglibatan PBT Pasir Gudang dalam sukan dan rekreasi di kawasan pentadbirannya. Pendokumen-tasian dasar, program sukan dan rekreasi sudah pasti berguna kepada pengkaji dan pembuat dasar sukan sebagai rujukan dan panduan. Seterusnya kajian ini dapat membandingkan maklumat penglibatan pihak PBT dalam sukan dan rekreasi.
Secara makro, kajian penglibatan Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang ini adalah bertujuan membuat semakan dan penilaian ke atas dasar dan program yang dirancang oleh Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang dalam pembangunan dan perlaksanaan sukan dan rekreasi di kawasannya.
Secara mikro, kajian ini menjadi panduan dan rujukan pembuat dasar sukan negeri, daerah dan komuniti agar sukan dan rekreasi diselaraskan.
1.6 DEFINISI-DEFINISI ISTILAH
1.6.1 SUKAN
Sukan adalah aktiviti yang dimainkan secara koperatif/kompetitif dalam bentuk permainan. Main melibatkan pertembungan fizikal sebagai cabaran ( rasa
seronok memburu kejayaan), risiko ( merasai kegagalan/bahaya) dan peluang (nasib/dugaan yang tidak pasti). Koperatif (kerjasama) dan kompetitif (persaingan) adalah dua perasaan yang dirasai dalam bersukan. Manakala bentuk pemainan merujuk sukan dibezakan mengikut reka bentuk, sruktur, format sesuatu permainan meliputi, peraturan, strategi, tempat, kemudahan dan peralatan permainan. Sukan. Bentuk keutamaan sukan negara terbahagi kepada “Sukan PrestasiTinggi”, dan “Sukan Massa”.
“Sukan Prestasi Tinggi” merujuk kepada sukan pertandingan yang mempunyai peraturan dan syarat-syarat tertentu.
“Sukan Massa” (sukan untuk semua) merujuk kepada aktiviti-aktiviti rekreasi dan sukan yang melibatkan masyarakat ramai berlaku secara spontan. Ia mengutamakan penyertaan ramai.
1.6.2 REKREASI
Rekreasi didefinisikan sebagai aktiviti masa lapang yang positif termasuk riadah(aktif) dan santai(pasif). Aktiviti-aktiviti riadah (berjogging, main bola sepak, mendaki dan berjalan pantas) atau pasif ( berkelah, berehat, dan menikmati pemandangan ). Ia dilakukan atas pilihan sendiri samada secara individu atau berkumpulan. Aktiviti rekreasi boleh disusun atur dalam bentuk
pertandingan atau tidak formal. Matlamat utama adalah mencapai kesejahteraan diri dan keseronokan.
1.6.3 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) adalah sebuah organisasi kerajaan yang mentadbir sesebuah daerah. Di kawasannya mengandungi sumber alam yang perlu diolah dengan mampan agar memberi kehidupan selesa dan sempurna kepada penghuninya samada dari segi politik, ekonomi, sosial dan alam sekitarnya. PBT ditubuhkan oleh kerajaan negeri mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171 ). Organisasi ini merupakan pihak berkuasa yang berada paling hampir dengan masyarakat. Ia memainkan tugas memajukan sesebuah kawasan mengikut ketetapan kerajaan negeri. Sehubungan dengan itu, PBT berperanan untuk mengatur, mengawal dan merancang kemajuan dan penggunaan sumber tanah dalam kawasannya terhadap kemudahan-kemudahan sukan dan rekreasi.
1.7. CARTA ALIRAN KAJIAN
Carta aliran di bawah menunjukkan bagaimana isu dan persoalan kajian ini diperkembangkan sebagai berikut:
BAB 2
PIHAK BERKUASA TEMPATAN(PBT) PASIR GUDANG
2.1 PENDAHULUAN
Seperti yang telah dijelaskan, objektif utama kajian ini adalah untuk mendokumen- tasikan dasar, peranan dan impak aktiviti sukan dan rekreasi di sesebuah kawasan Pihak Berkuasa Tempatan. Bagi mencapai matlamat tersebut, penglibatan PBT Pasir Gudang dalam sukan dan rekreasi menjadi tumpuan utama. Manakala penglibatan PBT lain di Malaysia hanya dibincangkan secara sepintas lalu.
2.1.1 PIHAK BERKUASA TEMPATAN DI MALAYSIA
Penubuhan Pihak Berkuasa Tempatan berada di bawah Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976. Langkah memberi kuasa-kuasa tambahan di Bahagian XII, Akta 171 membolehkan PBT,
“Melakukan, mendiri, menyenggara, memperolehi dan memajukan kemudahan sukan termasuk taman awam, padang permainan, taman permainan kanak-kanak dan kawasan rekreasi ”awam”.”(Mohd Salleh Aman, 2004: 73)
Secara menyeluruh,terdapat 147 buah PBT di Malaysia terdiri daripada Majlis Daerah, Majlis Perbandaran, Majlis Bandaraya dan Dewan Bandaraya. Jumlah dan bilangan PBT disetiap negeri dapat diperjelaskan melalui jadual 2.1.
Jadual 2.1 :Bilangan Pihak Berkuasa Tempatan di Malaysia.
2.1.2 PIHAK BERKUASA TEMPATAN NEGERI JOHOR
Johor dikenali sebagai “Pintu Selatan” ke Malaysia merupakan wilayah kelima terbesar memiliki keluasan tanah 18,841km dan didiami oleh 3.09 juta orang penduduk (2005). Rajah 2.1 menyenaraikan 16 buah Pihak Berkuasa Tempatan yang ditubuhkan untuk melaksanakan pembangunan negeri Johor yang dibahagikan kepada lima bahagian utama wilayah pentadbirannya iaitu:
Rajah 2.1: Pihak Berkuasa Tempatan Johor.
2.1.3 PBT PASIR GUDANG
Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang telah ditubuhkan pada 1 Julai 1977. Pada bulan Mac 1985, PBT Pasir Gudang mulai menggunakan Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976. Keluasan Kawasan pentadbirannya ialah 31,131 hektar. Peta di bawah dapat menjelaskan wilayahnya.
Rajah 2.2: Peta Wilayah PBT Pasir Gudang.
2.1.3.1 SEJARAH PASIR GUDANG
Rajah 2.3: Pasir Gudang asal sebagai sebuah perkampungan nelayan.
Pasir Gudang diteroka oleh Long Abu yang berasal dari Riau pada tahun 1918. Namanya diambil sempena aktiviti perlombongan yang melonggokkan pasir yang banyak sebelum dieksport ke Singapura.
Pada awal abad ke-20, kegiatan tanaman gambir, lada hitam, nanas dan getah menjadi sumber ekonomi utama di kawasan sekitar Pasir Gudang. Pembukaan estet oleh pedagang British dan Singapura turut membawa kemasukan buruh Cina dan India ke kawasan ini secara tidak langsung telah mengubah komposisi penduduk dan kehidupan masyarakatnya.
Selepas merdeka, Kerajaan Negeri Johor telah mengambil semula tanah-tanah estet untuk dijadikan kawasan perindustrian dan perumahan seterusnya peristiwa ini menjadi latar belakang kepada pembangunan perindustrian dan penempatan di Pasir Gudang yang kini semakin maju.
2.1.3.2 PENTADBIRAN PBT PASIR GUDANG
Rajah 2.4: Struktur Organisasi PBT Pasir Gudang.
Rajah 2.3 di sebelah menjelaskan bahawa struktur pentadbiran PBT Pasir Gudang diketuai oleh seorang Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Yang DiPertua PBT Pasir Gudang. Beliau dibantu oleh 10 orang Ahli Jawatankuasa Penyelaras dan 29 Ahli Jawatankuasa Penasihat. Sebanyak enam buah jabatan utama turut dibentuk untuk menentukan dan melaksanakan dasar PBT Pasir Gudang dapat dilaksanakan dengan terancang dan berkesan.
2.1.3.3 PENGURUSAN SUKAN DAN REKREASI SECARA KORPORAT
Istilah korporat sudah tidak asing lagi dalam pengurusan sukan dan rekreasi global. Pelaksanaannya sangat relevan di dalam mana-mana sukan dan rekreasi. Terdapat banyak kelab utama hoki, baseball dan bola sepak dunia di Britain dan USA yang mengunakan amalan korporat berjaya tersenarai dalam pasaran saham ( Garrity,2000).
Objektif korporat bukan sahaja sebagai memaksimakan keuntungan pemegang saham (shareholder) tetapi turut menfokuskan untuk memenuhi dan menjaga kepentingan pemegang amanah ( stakeholder).
Corporate objective as maximizing shareholeder welth ” while conforming to the basic rules of society, both those embodied in the law and those embodied in ethical custom.” (Friedman, 1970).
“Stakeholder adalah mana-mana kumpulan atau individu yang menerima atau
memberi kesan ke atas pencapaian objektif organisasi. “Stakeholder” termasuklah
pekerja, pelanggan, pemilik, kerajaan dan lain-lain pihak berkepentingan /
pemegang amanah.” (Freeman, 1984).
Bertepatan dengan definisi korporatnya, pentadbiran PBT Pasir Gudang yang dikendalikan oleh Johor Corporation telah berusaha untuk memberi pulangan maksima kepada “shareholder” dan “stakeholder”. Penyediaan kemudahan, program dan perkhidmatan sukan dan rekreasinya banyak menggunakan amalan korporat, penswastaan dan usahasama dengan anak-anak syarikat Johor Corporation, agensi kerajaan, pihak swasta dan individu yang ada kepakaran dalam sukan dan rekreasi.
2.2 PERANAN PBT DI MALAYSIA DALAM SUKAN DAN REKREASI
Pengendalian sukan dan rekreasi di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan kebanyakannya dikelolakan oleh sebuah jabatan/unit yang ditubuhkan di bawah Jabatan Kemasyarakatan. Peranan-peranan PBT di Malaysia telah diringkaskan dan dapat dijelaskan dalam bentuk Jadual 2.2 dan 2.3.
Jadual 2.2: Corak penyediaan kemudahan sukan dan rekreasi di Majlis Daerah, Majlis
Perbandaran, Majlis dan Dewan Bandaraya.
Jadual 2.3: Penganjuran program sukan dan rekreasi mengikut peringkat penganjuran.
2.3 PENGLIBATAN PBT PASIR GUDANG DALAM SUKAN DAN REKREASI
Pengurusan kemudahan serta program sukan dan rekreasi PBT Pasir Gudang dilakukan secara kolektif antara jabatan-jabatan yang ditubuhkannya. Rajah 2.4 menyenaraikan jabatan-jabatan yang ditubuhkan dan peranannya.
Rajah 2.5: Peranan jabatan-jabatan yang ditubuhkan dalam pengurusan sukan & rekreasi
PBT Pasir Gudang.
2.3.1 Peruntukan program sukan dan rekreasi.
Prestasi kewangan PBT Pasir Gudang adalah kukuh pada setiap tahun contohnya RM 45.05 juta (tahun 2002) dan RM 55.07 juta (2003). Ini membolehkan peruntukan untuk program sukan dan rekreasi di kawasannya disediakan. Pecahan dan peratusan (%) peruntukannya diringkas dalam jadual 2.4.
Jadual 2.4: Perbelanjaan program sukan PBT Pasir Gudang 2002 &2003
Bil Jenis Perbelanjaan Sukan dan rekreasi
2002 % 2003 %
1 Karnival sukan 124,370 7% 34,846 1.75%
2 Pasir Gudang united 847,960 46% 962,276 47.92%
3 Layang-Layang 861,017 47% 1,010, 705 50.33%
Jumlah 1,833,347 100% 2,007,827
2.3.2 Penyediaan kemudahan sukan dan rekreasi.
Beberapa kemudahan sukan dan rekreasi yang disediakan oleh PBT Pasir Gudang adalah mengikut ketetapan Pengurusan Peringkat Tertinggi PBT Pasir Gudang dan saranan Kerajaan Negeri Johor. Program pembangunan kemudahan sukan dan rekreasi yang disarankan oleh kerajaan adalah diselaraskan. Jadual 2.5 dan 2.6 masing-masing menjelaskan kemudahan-kemudahan sukan dan rekreasi yang dibangunkan mewakili program saranan Kerajaan Negeri Johor dan ketetapan Pengurusan Peringkat Tertinggi PBT Pasir Gudang.
Jadual 2.5: Program-program wajib saranan Kerajaan Negeri Johor.
Bil Program Nama Kemudahan Jumlah
1 Hutan Bandar/hutan lipur Hutan Bandar Sungai Buloh 1
2 Tapak perkhemahan /Pusat Motivasi Hutan Bandar Sungai Buloh 1
3 Pelan Induk Pembangunan Landskap Kota Air Kampung Pasir Putih (Mulai Jun 06)
Hutan Rekreasi Paya Bakau Perigi Acheh 2
4 Program Avenue Desa. Seri Bayu Akuadesa, Savanah Hil dan
Tiram Indah Village. 3
Jadual 2.6: Lokasi dan senarai aktiviti sukan dan rekreasi utama.
Bil Kemudahan Aktiviti Sukan & Rekreasi utama
1 Taman Rekreasi Taman Bandar berjogging, berkayak, bermain paddle boat, bermain badminton, bermain bola sepak, bermain layang-layang, berkhemah dan bersantai bersama keluarga samada di tasik buatan dan tanah lapang.
2 Tasik Perdana, Taman Dahlia Berjoging, bersantai, bermain sepak takraw, badminton, bola tampar dan bola keranjang.
3 Hutan Bandar Berjoging, bersantai, memancing, berkhemah.
4 Iman Sport Centre Bola jaring, bola tampar, futsal, karom, dam haji dan catur.
5 Gold Star Bowl Bowling.
6 Pantai Pasir Layar Berkayak, berperahu optimis/laser dan memancing.
7 Hutan Rekreasi Paya Bakau Perigi Acheh Berkhemah, jungle trekking dan memancing.
8 Kompleks Sukan Pasir Gudang. Stadium bola sepak, Stadium Tertutup ( Gelanggang sepak takraw, bola tampar, badminton, bola jaring dan futsal)
9 Tasik Dahlia Memancing.
10 Johor Circuit Aktiviti sukan dan rekreasi permotoran
2.4 PERANAN PBT DALAM SUKAN DAN REKREASI SATU PENILAIAN.
kepentingan sukan dan rekreasi seiring dengan pembangunan sektor ekonomi dan sosial. Generasi yang sihat dan cergas membantu pembangunan sesebuah daerah, negeri dan negara. Secara keseluruhannya, semua PBT di Malaysia telah bertindak menyediakan kemudahan dan program sukan dan rekreasi di daerah masing-masing selaras dengan kuasa perundangan yang terkandung dalam kuasa-kuasa tambahan XII, Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Secara dasarnya, setiap PBT telah menyediakan kemudahan dan program sukan dan rekreasi yang paling asas melibatkan ramai penyertaan seperti padang bola sepak, dewanraya dan taman awam. Jumlah pendapatan tahunannya menentukan peruntukan belanjawannya. Dari segi perbandingan Majlis Bandaraya/perbandaran menydiakan peruntukan yang lebih besar berbanding Majlis Daerah.
Kemudahan-kemudahan sukan dan rekreasi turut disediakan oleh Kerajaan Pesekutuan, Kerajaan Negeri, Persatuan Sukan Negeri, pihak NGO, Pihak Swasta dan individu yang memiliki kepakaran dalam sukan dan rekreasi. walau bagaimanapun corak penyediaan begini biasanya lebih tertumpu di kawasan PBT berstatus bandar utama atau ibu negeri sesebuah negeri.
Namun Majlis-Majlis Daerah memiliki kelebihan sumber alam semulajadi. Justeru itu,banyak kawasan menarik turut berpotensi menjadi lokasi aktiviti sukan dan rekreasi lasak berunsurkan sungai, jeram, tasik, gunung, hutan, taman negara, laut dan pulau. Secara langsung dapat menjana pendapatan penduduk melalui kegiatan ekonomi yang seiringan dengan aktiviti program sukan dan rekreasi.
Kebanyakan PBT turut memiliki produk sukan dan rekreasi masing-masing. yang dianjurkan samada di peringkat domestik, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Antara yang terkenal ialah Festival Layang-layang Antarabangsa, Ironman Langkawi, Liga Super TM, dan Liga Sport Excel.Bagi mengekalkan pelestarian program sukan dan rekreasi terutamanya sukan pelancongan dan sukan lasak antarabangsa, usaha mendapatkan sokongan dan kerjasama melibatkan kerajaan negeri, pihak NGO, pihak swasta dan masyarakat tempatan diperlukan.
Jelaslah bahawa sukan dan rekreasi telah mendapat perhatian diseluruh PBT di Malaysia. Hanya faktor-faktor kewangan, fahaman politik, corak pengurusan dan lokasi disesebuah PBT menentukan kejayaannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment